News

IUMW ANJUR MAJLIS IFTAR SAMBUT ULANG TAHUN PERTAMA

Universiti swasta milik Universiti Malaya (UM), Universiti Antarabangsa Malaya-Wales (IUMW) meraikan ulang tahun pertamanya semalam dengan menganjurkan Majlis Iftar yang dihadiri oleh Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II dan sekumpulan kanak-kanak dari Asrama Damai, Rumah Anak-anak Yatim Kuang, Selangor.

Majlis Iftar ini dihoskan bersama oleh Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin, Naib Canselor UM dan Profesor Dr. Hamzah A Rahman, Presiden IUMW.

Sebelum majlis berbuka, IUMW menyampaikan sumbangan bantuan kewangan bernilai hampir RM135, 000 kepada 18 pelajar mereka. Bantuan kewangan ini diberikan dalam tiga bentuk iaitu pengecualian yuran pengajian di antara 30% - 60%, pengecualian 100% ke atas yuran tuisyen dan rebat sebanyak RM1,000 bagi yuran pendaftaran.

Sumbangan bernilai RM3,000 beserta hadiah dan wang saku turut disampaikan kepada kanak-kanak dari Asrama Damai, Rumah Anak-anak Yatim Kuang, Selangor.

IUMW adalah universiti swasta pertama di Malaysia yang ditubuhkan hasil daripada kerjasama universiti awam terulung di Malaysia iaitu UM, dan universiti yang bersejarah dan berpengalaman di United Kingdom iaitu University of Wales. Kerjasama ini menawarkan lebih 200 tahun pengalaman akademik gabungan kedua-dua universiti induk ini.

Sementara itu, Dato’ Seri Idris dalam ucapannya berkata IUMW adalah salah satu contoh yang bagus dan patut dicontohi oleh universiti awam dan swasta yang lain di Malaysia.

“Perkembangan sebegini dalam bidang pendidikan akan membawa Malaysia ke arah menjadi salah satu destinasi pendidikan yang unggul di dunia,” kata beliau.

Manakala Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin pula berkata ”keputusan bagi mewujudkan sebuah universiti swasta adalah satu inisiatif pro-aktif yang diambil UM untuk meningkatkan peluang melanjutkan pelajaran bagi rakyat Malaysia khususnya dan juga negara-negara lain di rantau ini.”

Idea penubuhan IUMW pada Mac 2013 tercetus apabila kerajaan menganugerahkan UM dengan kuasa autonomi di dalam bidang pendidikan. Bermula dengan hanya tiga kursus, IUMW kini menawarkan 24 kursus melalui empat fakulti iaitu Fakulti Perniagaan & Undang-Undang; Fakulti Sastera & Sains; Fakulti Kesihatan & Sains Sosial; dan Fakulti Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik.

Tahap kursus merangkumi spektrum yang lengkap termasuk Pengajian Asas, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Field of Studies